mengapa emas sebagai simpanan?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Mengapa emas jadi pilihan saya? Mudah jawapannya.


Pertama: Tiada susut nilai. Sejarah telah membuktikannya sejak dari zaman manusia mengenali logam berkenaan. RM1000.00 yang disimpan dalam bentuk wang tunai hari ini tidak semestinya mempunyai nilai kuasa beli RM1000.00 pada 10 tahun akan datang. Ini terbukti dalam sejarah ekonomi negara kita. Kalau dulu kita bawa RM1 ke pasar, macam-macam kita boleh beli, tetapi hari ini, cuba lah bawa RM1 dan lihat apa yang kita boleh beli darinya.

Kedua: Emas mudah dicairkan. Cair di sini bermaksud mudah untuk ditukar dengan wang tunai. Sama ada melalui proses jual beli ataupun proses gadaian. Ia boleh dicairkan dalam apa sahaja matawang, di mana sahaja dan mungkin pada bila-bila masa dan dengan siapa sahaja.

Ketiga: Emas tidak mempunyai jangka hayat. Tidak seperti tanah yang mempunyai tempoh hakmilik 60 tahun, 90 tahun ataupun 100 tahun, emas kekal dalam pegangan. Ia mudah diperturunkan kepada generasi berikutnya tanpa memerlukan pendokumentasian yang sukar, tidak seperti tanah yang memerlukan proses pindahmilik dan pengenaan cukai-cukai tertentu.

Keempat: Mudah berurusan. Transaksi tanah memerlukan penglibatan beberapa pihak, pendokumentasian serta caj-caj tertentu. Setiap transaksi tersebut memerlukan proses yang agak merumitkan. Tidak seperti emas. Tidak memerlukan suratcara, tidak memerlukan penyaksian dan pada waktu ini tidak dibebankan dengan caj-caj yang berjela-jela dan bermacam ragam.

Kelima: Mudah disimpan. Pada waktu ini banyak bank menawarkan khidmat penyimpanan emas di bilik kebal milik mereka. Dengan sedikit upah, maka emas yang kita miliki selamat. Malah, jikapun berlaku kecurian, emas tersebut sudah diinsuranskan dan pastinya, kita akan mendapat jika tidakpun sepenuhnya harga emas, sekurang-kurangnya pampasan yang agak setimpal.


Saya berpendapat adalah wajar pada masa ini untuk menukar kaedah kita menyimpan wang. Kalau sebelum ini kita menyimpan wang dalam bentuk tunai di bank atau amanah saham ataupun barangkali bon-bon tertentu. Adalah besar keuntungannya andai wang yang disimpan itu ditukar bentuknya kepada emas. Tidak rugi menjadikan emas sebagai simpanan jangkamasa panjang.

0 comments: